Bank Islam Mahal?

Bagi yang tidak mengkaji tentang perbankan Islam dengan lebih mendalam mereka akan merasakan ia tiada bezanya dengan perbankan konvensional. Sedih apabila orang Islam sendiri menolak perbankan Islam.

Antara kenyataan yang sering kita terima ialah bank Islam juga mengenakan kadar faedah kepada peminjam dan ia adalah riba.

Kesalahan utama dalam kenyataan mereka ialah perbankan Islam sebenarnya tidak memberikan pinjaman.

Ya, belum ada bank Islamik di Malaysia yang memberi pinjaman. Perkhidmatan yang sebenarnya diberikan bank Islam ialah pembiayaan (financing).

Apa bezanya?

Bagi bank konvensional, mereka akan menyediakan perkhidmatan pinjaman di mana pelanggan akan meminjam duit daripada bank dan membayar kepada penjual untuk membeli sesuatu aset (contoh: rumah).

Maka pelanggan akan berhutang dengan bank dan bank akan mengenakan faedah beberapa peratus daripada jumlah pinjaman (contoh 6%).

Disinilah wujudnya riba kerana di dalam Islam, bila anda meminjam sesuatu anda harus memulangkannya dengan jumlah yang sama.

Bagi perbankan Islam pula, mereka akan menyediakan perkhidmatan pembiayaan yang berbeza dengan pinjaman.

Secara mudahnya, Bank Islam akan membeli dahulu aset tersebut dengan penjual. Selepas itu pelanggan akan membeli pula aset dengan bank dengan harga baru yang ditetapkan bank dengan persetujuan pelanggan.

Ini adalah sangat menepati standard Syariah yang ditetapkan ulama seluruh dunia. Jual beli adalah halal dalam syarak. Manakala keuntungan yang diambil oleh bank Islam dengan meningkatkan harga adalah halal.

“Alah, sama sahaja kedua-duanya. yang beza cuma akad.” kata seorang pemuda.

Akad adalah penting dan cukup untuk menjadikan sesuatu itu adalah halal atau haram. Ketahuilah bahawa asas yang membezakan orang Islam dan orang kafir adalah syahadah yang juga merupakan satu bentuk akad.