‘Back to Basic’, Catat Jangan Tak Catat !!

“Mana pergi RM20 aku ni.”

“Eh, dah habis dah duit aku.”

“Semalam rasanya macam ada duit lagi.”

Jika anda masih lagi terperangkap dengan situasi di atas, maka anda belum lagi dikategorikan sebagai orang yang pandai mengurus kewangan.

Antara ciri-ciri orang yang mampu mengurus kewangan ialah orang yang mampu menjejaki semula perbelanjaan mereka.

Mereka tahu RM 2 dah dibelanja untuk apa. Mereka tahu RM 20 datang dari mana. Dan meraka tahu dengan siapa mereka meminjam dan siapa yang meminjam dengan mereka.

Kunci kepada kepekaan mereka dengan pembelanjaan adalah dengan mencatat.

Mereka akan mencatat segala aliran duit mereka dengan berdisiplin. Kalau zaman dahulu orang meggunakan buku 555 tetapi hari ini anda boleh mencatat menggunakan smartphone.

Banyak aplikasi percuma yang anda boleh dapatkan. Antaranya ‘Expense Manager’ dan ‘Daily Money’. Ia amat mudah digunakan. Apa guna telefon bimbit mahal kalau hanya diguna untuk telefon, sms dan main game??

Anda harus catat segala aliran keluar atau masuk wang anda. Anda tidak perlu terperinci sehingga mencatat setiap sen, cukuplah dengan membundarkan semua kepada ringgit. Tetapi tiada masalah jika anda mahu catat dengan terperinci.

Lagi satu perkara adalah catat siapa yang berhutang dengan anda. Perkara ini selalu diabaikan dan akhirnya timbul masalah kerana tiada catatan yang dibuat mengenai hutang. Yang berhutang buat-buat lupa dan yang dihutang pula ingat-ingat lupa.

Mungkin ada yang akan berkata : “Tips ini semua orang dah tahu la..”
Tapi adakah anda sudah lakukan ? Mungkin pernah, tetapi adakah anda konsisten ?

Jika ya maka anda sudah selangkah ke arah pengurus kewangan yang baik. Jika belum maka anda harus muhasabah dan mulakan dengan berdisiplin.