Makin Puasa Makin ‘Pokai’

Ramadhan makin tiba. Bulan untuk melatih mengawal nafsu kita. Bukan sekadar nafsu makan dan minum tetapi nafsu berbelanja juga sebenarnya.

Berpuasa tapi belanja makan makin meningkat??

Itulah yang berlaku hampir kepada semua orang yang berpuasa. Harapan untuk mengurangkan belanja hanya tinggal harapan sahaja. Yalah, ingatkan bila puasa makin jimat.

“Salah bazaar Ramadhan ke ??”

Kita yang lemah untuk mengawal nafsu sendiri. Lapar dan dahaga yang ditahan dari sebelum subuh hingga ke senja ibarat dibalas dendam dengan berbelanja ikut nafsu untuk berbuka puasa.

Hampir semua juadah ingin dibeli. Walhal perut tu bukan besar mana pun. Sepinggan nasi berlauk dan secawan air pun dah kenyang sangat. Akhirnya dibuang juga makanan yang tak mampu dihabiskan itu.

Membazir amalan……??

Rancang perbelanjaan anda. Bagi yang bujang, kira dari sekarang berapa purata anda habis sehari untuk makan. Maka itulah belanja anda untuk sahur dan berbuka sehari pada bulan puasa nanti. Gunalah hanya 60% – 80% wang itu untuk belanja.

Hari biasa: sarapan+makan tengah hari+ makan malam =RM 15
Ramadhan : sahur + buka puasa = RM 4 + RM 6 = RM 10
Jimat : RM 5 ( 33.33%)

Bagi yang sudah berkeluarga, cara dia hampir sama. Jika anda habis RM 600 sebulan untuk belanja dapur, maka tambah wang itu dengan belanja makan di pejabat (belanja rumah+ belanja pejabat =RM 600 + RM 300). Maka anda ada RM 900 sebulan dengan purata RM 30 sehari. Kalau anak minta ‘extra’ di bazar, suruh mereka beli guna duit belanja sekolah yang tak digunakan.

Dengan mengira begini, anda dapat menganggar berapa bajet anda untuk belanja makan sehari. Kalau boleh, kurangkanlah bajet itu untuk belanja raya pula.